Masa lalu memboncengku dengan pelukan erat di jalan lurus dan berselekoh rangkulannya terkunci rapi menuruti setiap lenggok perjalanan ini. Sewaktu hujan lebat ia menyusup pantas ke dalam baju hujanku lalu kami menjadi satu dan aku tidak lagi tahu beza antara asin air mata dan tawarnya hujan, yang meleleh ke bibirku. Dalam kedinginan ini aku enggan berteduh kerana masa lalu yang erat memelukku sedang hangatkan jiwa hingga gigilnya raga, berlalu dan terus dilupa.